Tebing runtuh: Air Selangor siasat punca, negeri rangka pelan keperluan air tambahan

Tarikh: 08/09/2024
img

KUALA LANGAT, 8 SEPT: Siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian tebing runtuh di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) petang semalam akan dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

EXCO infrastruktur memaklumkan ia melibatkan konsultan yang mempunyai kepakaran bidang geotek lantikan Air Selangor.

Ir Izham Hashim berkata laporan lengkap untuk mengenal pasti punca insiden itu akan dikemukakan dalam masa tiga bulan.

“Tapak pembinaan ini juga telah disita untuk memberi ruang siasatan lanjut selain mengelakkan kejadian lain berlaku.

“Pandangan awal kita dapati tiada pelanggaran syarat pembinaan dibuat malah tiada arus pergerakan air yang kuat di tasik sebelah (kawasan pembinaan).

“Paras air juga sama, tiada longgokan dan tambakan tanah di kawasan itu. Semuanya berlaku dengan mengejut dan kita akan siasat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke kawasan pembinaan itu hari ini.

Tambahnya, pihak konsultan akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti kerosakan dan struktur binaan yang perlu dibaiki semula bagi meneruskan projek bekalan air tersebut.

“Kita anggar dalam setahun untuk selesai semua ini, sebelum kita teruskan semula projek. Kalau boleh selesai lagi awal, lebih bagus, kalau tidak dalam tempoh setahun.

“Kejadian ini sedikit menjejaskan rancangan pembekalan air, tetapi kita ada langkah mitigasi lain. Negeri sedang merangka pelan memenuhi keperluan air tambahan kepada Air Selangor untuk tahun hadapan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kawasan pembinaan berada dalam keadaan terkawal dan pemantauan akan dibuat secara kerap untuk memastikan keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar terjamin.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa berlaku kerana kejadian dapat dikesan awal, segala langkah keselamatan diambil dan siren dibunyikan.

“Seramai 169 pekerja dikenal pasti, kiraan telah dibuat dan semuanya cukup, tiada yang hilang,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, tebing berkenaan runtuh menyebabkan limpahan air tasik memenuhi tapak pembinaan itu namun tiada kecederaan dilaporkan sama ada pekerja pembinaan atau orang awam.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu