SEPANG: Pertandingan Surfcasting Tour @Bagan Lalang yang akan dianjurkan Ahad ini mampu membantu melonjakkan industri pelancongan sekitar pantai berkenaan dengan kehadiran penggemar aktiviti memancing dan peserta pertandingan bagi merebut hadiah lumayan hampir RM45,000 yang ditawarkan.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Zon Sepang Putra, A Vijayarany, berkata pantai peranginan itu memang sesuai menjadi lokasi penganjuran acara seperti pertandingan memancing kerana dilengkapi kemudahan mencukupi merangkumi pelbagai jenis hotel, pantai yang panjang dan lubuk pelbagai spesies ikan.
"Saya sangat mengalu-alukan acara seperti ini kerana ia akan turut membantu menjana ekonomi peniaga makanan di pantai ini serta hotel berhampiran," katanya selepas meninjau pantai lokasi pertandingan Surfcasting Tour @Bagan Lalang, di sini semalam.
Pertandingan berkenaan yang antara lain bagi membantu kempen Cuti-Cuti Malaysia yang digerakkan Tourism Malaysia, selain turut mempromosi dan memeriahkan Tahun Melawat Selangor 2025 (TSM2025) dianjurkan Ahli Majlis MPP Zon Sepang Putra bersama Wakjali Event Management.
Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara bakal menerima RM4,000 dan ketiga RM2,000, manakala pemenang keempat dan kelima (RM500 setiap seorang), keenam hingga 10 (masing-masing RM250) dan ke-11 hingga 120 (RM150 setiap seorang).
Kaunter pendaftaran acara dijadual jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada 19 Januari ini akan dibuka di lokasi pertandingan, bermula jam 4 petang 18 Januari hingga 12 tengah malam, bersambung jam 6 pagi keesokannya hingga pertandingan dimulakan dengan 200 peserta terawal mendaftar akan menerima baju T percuma.
Yuran penyertaan RM100 dikenakan untuk satu joran dan untuk pertanyaan serta pendaftaran, hubungi penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479.
Sumber: Berita Harian Online