SHAH ALAM, 25 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita terhadap tindakan umat Islam yang mempertikai fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam titah Baginda menegaskan proses pembuatan fatwa dilakukan dengan begitu teliti, mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk pakar hukum syarak sebelum diwarta.
“Oleh itu, Beta menyeru agar segelintir umat Islam yang sering mempersoalkan tentang fatwa untuk memahami terlebih dahulu tentang sesuatu fatwa yang dikeluarkan.
“(Selain itu) merujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat apa-apa kekeliruan atau persoalan yang berbangkit,” titah Baginda ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Multaqa yang mengangkat tema ‘Ilmu Tasawwuf Merungkai Masalah Ummah’ turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini.
Sultan Sharafuddin mengambil maklum cabaran yang menimbulkan kerisauan terhadap pengamalan tasawwuf dan tarekat adalah apabila belajar daripada guru yang tidak berkelayakan dan tiada tauliah.
Baginda bertitah, penyelesaian terhadap isu ini adalah dengan memberi kefahaman yang betul kepada masyarakat melalui usaha agensi agama terlibat, dengan pengajaran Islam yang sebenar.
“Pihak Jabatan Agama Islam Selangor perlu memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutama berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawwuf serta pengamalan tarekat mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor,” titah Baginda.
Justeru, Sultan Sharafuddin mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawwuf dan tarekat di Selangor.
Baginda menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama melalui pewujudan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawwuf dan tarekat di Selangor.
“Tindakan penguatkuasaan juga perlu dipertingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di Selangor khususnya,” titah Baginda.
Sumber: Selangor Kini