AMPANG JAYA, 23 JUN: Siapa sangka sebuah lorong biasa di tengah Taman Melawati iaitu Lorong Seni, Jalan Negara Kita yang menggabungkan kopi, seni dan gaya hidup dalam satu platform kini mampu menjadi lokasi tumpuan pengunjung.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli, Lorong Seni menjadi bukti bahawa ruang awam boleh digunakan secara efektif untuk menyatukan komuniti, menyokong pengusaha kopi tempatan sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
“Pesta Kopi Melawati 2025 ini adalah program yang julung kali diadakan khususnya di Lorong Seni yang bukan sekadar menjadi tempat lalu lalang tetapi ia mampu menjadi titik pertemuan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan program Pesta Kopi Melawati 2025 dan Lorong Seni, Jalan Negara Kita di Melawati Square, Taman Melawati disini semalam.
Terdahulu, seramai 15 pengusaha kopi mengambil bahagian dalam pesta berkenaan sekali gus membuktikan potensi besar industri ini dalam menggerakkan ekonomi komuniti.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Hasrolnizam Shaari memuji penglibatan aktif komuniti menerusi aktiviti disediakan seperti Melawati Coffee Run & Ride, Tarung Seni Latte yang menguji kreativiti barista serta jualan kopi oleh pengusaha tempatan.
“Saya menghargai penglibatan para peniaga dan 500 peserta yang hadir seawal jam 7 pagi lagi untuk menyertai larian lima kilometer (km) dan berbasikal sepanjang 10 km demi menjayakan program ini,” jelas beliau.
Pengasas Bersama Jalan Negara Kita, Nazura Rahime, 45, pula menyifatkan usaha sejak 2022 lalu bersama komuniti setempat untuk memulihkan dan merancakkan Lorong Seni itu kini mula menampakkan hasil.
“Konsep kami adalah untuk memperkasa komuniti melalui seni dan budaya dan saya sangat menghargai sokongan daripada pihak MPAJ yang membina bumbung di lorong ini untuk keselesaan pengunjung.
“Lorong Seni ini berfungsi sebagai hab komuniti yang menyatukan masyarakat melalui aktiviti kesenian yang telah dianjurkan sebelum ini seperti malam puisi, persembahan gamelan serta bengkel seni dan kraf,” tambahnya.
Bagi pengunjung, Siti Ainur Shafieka Mat Amin, 23, berpandangan program yang diadakan itu dapat memupuk semangat kemasyarakatan dan mengeratkan hubungan antara pelbagai pihak dengan komuniti setempat.
“Saya rasa acara macam seperti ini patut diadakan dengan lebih kerap supaya dapat memanfaatkan kawasan ini sebagai ruang santai untuk masyarakat datang serta menghayati seni dan minum kopi sambil menyokong peniaga tempatan,” katanya.
Manakala bagi Siti Nur Ayuni Farulnizal, 23, pula berkata aspek visual dan estetik yang terdapat pada Lorong Seni itu dengan menampilkan hasil karya anak muda tempatan turut mempunyai tarikannya tersendiri.
“Lorong Seni ini bukan sekadar ruang untuk mural cantik yang menjadi lokasi pilihan bergambar, tetapi ia juga adalah tempat komuniti berkumpul dan berkongsi minat yang sama khususnya dalam seni dan budaya kopi,” jelasnya.
Sumber: SelangorKini