HULU LANGAT, 1 SEPT: Kerajaan Negeri menyasarkan 50,000kg ikan bandaraya (pleco) ditangkap menerusi program di Denai Sungai Kebangsaan, Sungai Langat sepanjang September ini.
EXCO Petanian Ir Izham Hashim berkata sejumlah RM50,000 diperuntuk bagi menjayakan program yang menawarkan insentif RM1 bagi setiap kg tangkapan ikan asing itu.
“Kita akan serahkan insentif secara tunai kepada peserta. Kita lihat (hasil program) hujung bulan nanti, kalau rasa perlu diperluas kita akan perluas mungkin dengan kaedah berbeza dan di sungai lain seperti Sungai Klang.
“Selain berusaha mengurangkan populasi ikan ini, kita mahu wujudkan kesedaran kepada masyarakat bahawa ikan invasif ini menyebabkan kerosakan kepada ekosistem sungai, saliran dan ikan air tawar tempatan,” katanya ditemui selepas meninjau program itu di sini hari ini.
Izham memaklumkan seramai 60 peserta mengambil bahagian pada hari pertama program itu dengan lebih 500kg ikan bandaraya ditangkap dalam tempoh empat jam sejak 9 pagi tadi.
Menurutnya, hasil tangkapan ikan perosak ekosistem sungai itu mempunyai nilai komersial kerana boleh diproses menjadi baja kompos dan makanan haiwan.
“Kualiti ikan ini bila buat baja sangat luar biasa kerana mengandungi nitrogen, fosforus dan potassium tinggi yang penting dalam proses pembajaan,” katanya.
Sementara itu juruteknik Ahmad Nawawi Husin, 31, dan dua ahli kumpulannya yang mencatat nilai tangkapan tertinggi dengan 102kg berkata usaha Kerajaan Negeri memberi insentif tunai menaikkan semangat mereka untuk terus memburu ikan berkenaan.
“Saya dan rakan sebelum ini memang buru ikan ini tanpa ada apa-apa insentif kerana memang kita sayangkan sungai dan mahu jaga ekosistem ikan air tawar tempatan.
“Program ini saya yakin akan menarik minat lebih ramai untuk terlibat sama dalam menjaga sungai daripada ikan pendatang ini sambil mendapat pendapatan sampingan,” katanya.
Tawaran insentif RM1 bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya di Denai Sungai Kebangsaan sepanjang bulan ini melibatkan tarikh 1, 7, 8, 14, 15, 21, 22, 28 dan 29 mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Sumber: SelangorKini