SEPANG, 1 JUL: Sebanyak 13 lampu solar dipasang di beberapa laluan utama melibatkan dua perkampungan Orang Asli di daerah ini, sekali gus meningkatkan keselamatan penduduk terutama pada waktu malam.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata lapan lampu solar dipasang di Kampung Bukit Bangkong dan lima lagi di Kampung Sungai Belankan yang majoritinya dihuni Orang Asli dari suku Mahmeri.
“Pemasangan melibatkan laluan penting seperti Jalan Tok Sen, Jalan Batin Todak, Jalan Tok Abon dan Jalan Tok Ju.
“Projek ini memberi manfaat kepada 372 isi rumah membabitkan kira-kira 1,071 penduduk,” katanya kepada Media Selangor selepas merasmikan program berkenaan di Kampung Bukit Bangkong, semalam.
Menurut Papparaidu, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan tidak meminggirkan masyarakat minoriti.
“Usaha ini bukan sahaja memperbaiki aspek fizikal dan keselamatan kampung, malah mengeratkan hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat.
“Ia juga memperkukuh prinsip keadilan sosial yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Negeri,” tambahnya.
Sumber: SelangorKini