Selangor Marathon berlangsung 3 Ogos, sasar 7,000 peserta termasuk luar negara

Tarikh: 02/07/2025
img

SEPANG, 1 JULAI: Acara Selangor Marathon (SELMAR) 2025 yang akan berlangsung pada 3 Ogos depan, dijangka menarik 7,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata setakat ini, seramai 6,103 peserta pelbagai negara telah mendaftar termasuk dari Malaysia, Filipina, New Zealand, Hong Kong, Jepun, China, Korea, Perancis, Kenya, Portugal, India, Sudan, United Kingdom dan Malawi.

Menurutnya, merangkumi pelbagai kategori larian iaitu 42 kilometer (km), 21 km, 10 km dan 5 km, antara tarikan yang melonjak populariti SELMAR dalam kalangan pelari adalah laluan larian yang menawarkan pemandangan ikonik, berlari berlatar belakangkan pesawat berlepas atau mendarat di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pelari 42 km akan melalui Anjung Tinjau KLIA dan boleh mendapat gambar larian berlatar belakang pesawat mendarat atau berlepas yang tidak dapat di tempat lain. Ini antara yang menjadi tarikan pelari mendaftar dalam SELMAR yang masuk kali ketiga penganjuran tahun ini.

“Acara seperti maraton ini bukan sekadar aktiviti sukan semata-mata, tetapi juga platform ideal untuk mempromosi pelbagai produk pelancongan, keunikan daerah di Selangor serta memacu pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya pada sidang media SELMAR 2025 di sini, hari ini.

Katanya dengan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia, pengangkutan cekap dan sokongan kukuh daripada pelbagai pihak, Selangor kini berada dalam kedudukan kukuh sebagai destinasi pelancongan yang mampan.

“Selangor Marathon dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai acara tahunan utama, bersempena sambutan bulan kemerdekaan. Jadi kita alu-alukan penyertaan lagi yang akan dibuka sehingga 10 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Pembangunan Korporat Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Petronas SIC) Faisal Zakaria berkata masuk kali ketiga tahun ini sebagai destinasi pelepasan dan tamat larian, pihaknya berbesar hari bekerjasama dengan Tourism Selangor.

“Jika Tourism Selangor merancang untuk menjadikannya sebagai acara tahunan, kita sedia bekerjasama dalam program akan datang,” katanya.

Sumber: SelangorKini

Radio MPSepang
Semarak Harimu