Selangor bangunkan Super App, satukan perkhidmatan pengangkutan awam

Tarikh: 11/07/2025
img

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu aplikasi digital menyeluruh atau “Super App” bagi menyatukan semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah satu platform, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han.

Menurut beliau fungsi mobiliti dalam aplikasi itu akan menggabungkan perkhidmatan seperti bas Smart Selangor, RapidKL, transit respons permintaan (DRT) dan sistem lain bagi memudahkan pengguna dan memastikan perjalanan lebih lancar dan telus.

“Gabungan ini akan meningkatkan penyelarasan perkhidmatan dan akses kepada pengangkutan awam, malah memberi ruang promosi pelancongan melalui pengangkutan awam,” katanya.

Sze Han berkata demikian ketika sesi penggulungan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (Infragro) berhubung penambahbaikan ekosistem pengangkutan awam Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada November 2023, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang menaik taraf aplikasi SELangkah kepada Super App yang merangkumi lebih banyak perkhidmatan, bukan sekadar kesihatan.

Aplikasi itu sebelum ini digunakan bersama MySejahtera semasa pandemik Covid-19 dan telah ditambah baik untuk memudahkan capaian kepada pelbagai inisiatif kesihatan.

Di bawah konsep Super App yang dicadangkan, perkhidmatan kerajaan lain seperti platform pembayaran digital Wavpay juga akan digabungkan.

Menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh, Sze Han berkata walaupun bas Smart Selangor mungkin tidak sampai ke semua kampung luar bandar, jalan utama termasuk yang menghubungkan Puncak Alam dan Kuala Selangor sudah diliputi.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan perkhidmatan itu.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan laluan pengangkutan awam dari Shah Alam dan Subang Jaya ke Sabak Bernam bagi meningkatkan hubungan antara bandar dan luar bandar.

Rancangan Induk Mobiliti Selangor yang hampir siap turut akan merangka strategi bagi memastikan kawasan luar bandar turut mendapat manfaat, bukan hanya tertumpu di bandar.

Beliau berkata rancangan itu akan mengambil kira kerjasama Kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan tempatan supaya liputan perkhidmatan lebih menyeluruh termasuk di Sepang, Selayang, Sabak Bernam dan bandar-bandar yang sedang membangun.

“Kita tidak boleh pisahkan hubungan Selangor dengan Kuala Lumpur. Kita mesti merancang bersama untuk memastikan rangkaian pengangkutan lebih lancar dan bersepadu,” katanya.

Sumber: SelangorKini

Radio MPSepang
Semarak Harimu