AMPANG JAYA, 16 OKT: Kerajaan Negeri mengaktifkan bilik gerakan 24 jam di seluruh daerah untuk memantau kawasan titik panas banjir dan fenomena air pasang besar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membolehkan tindakan diambil segera oleh bilik gerakan bencana negeri jika berlaku banjir.
Menurutnya, benteng (ban) sementara turut dibina di beberapa lokasi kritikal sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang besar yang bermula esok hingga Ahad.
“Beberapa ban sementara sedang dalam proses pembinaan susulan keputusan dibuat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor bulan lepas.
“Petang ini saya akan pantau tahap kesiapsiagaan dan akan melihat jika ada ban yang masih belum selesai dibina, arahan akan dikeluarkan untuk menyegerakan tindakan (pembinaan) itu dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selapas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati di sini, hari ini.
Ditanya mengenai situasi banjir kilat di Hulu Langat, Amirudin memaklumkan kebanyakan mangsa yang berteduh di pusat pemindahan sementara (PPS) telah pulang ke kediaman masing-masing.
“Kebanyakan banjir kilat yang melanda di beberapa kawasan semalam hanya mengambil tempoh hingga 3 hingga 4 jam, ia bukan bah termenung.
“Kejadian banjir kilat di KL semalam telah menyebabkan air mengalir ke sebahagian kawasan Selangor.
“Negeri akan memantau jika terdapat keperluan mengalihkan penduduk ke PPS dengan melihat situasi banjir kilat,” katanya.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Selangor juga berdepan fenomena air pasang besar tertinggi tahun ini pada 18 Oktober depan, dengan jangkaan bacaan paras air laut 5.8 meter.
Sumber: SelangorKini