KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menghalang konvoi Global Sumud Flotilla.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan mengikut undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berhubung warganegara Malaysia.
“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap tidak menghormati hak rakyat Palestin dan suara hati masyarakat dunia.
“Flotila ini melambangkan solidariti, belas ihsan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang berada di bawah sekatan.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah yang utama, dan kita tidak akan membiarkan ia digugat sewenang-wenangnya,” katanya.
Tegas Anwar lagi selagi hak Palestin dinafikan, Malaysia akan berdiri teguh menuntut kekejaman dan kezaliman yang telah lama berlaku ditamatkan. — AlHijrah Online