SHAH ALAM, 6 FEB: Kerajaan Selangor bakal melaksanakan operasi besar-besaran menangkap haiwan ternakan termasuk lembu yang berkeliaran mulai Mei depan.
EXCO Pertanian berkata tindakan tegas diambil kerana haiwan yang berkeliaran mengancam keselamatan orang ramai seperti menyebabkan kemalangan jalan raya dan kerosakan harta benda.
Jelas Dato’ Ir Izham Hashim, banci yang dilaksanakan pada tahun lepas mendapati kira-kira 4,000 daripada 39,941 ekor lembu dan kerbau melibatkan 150 pemilik didapati berkeliaran di hampir seluruh daerah.
“Statistik tahun lepas daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor juga merekodkan 251 kes kemalangan melibatkan lembu berlaku termasuk dua mangsa maut dan enam lagi parah.
“Susulan itu, kita tidak akan berkompromi dan mula melaksanakan operasi berskala besar secara bersepadu pada Mei nanti,” katanya pada sidang media di pejabat EXCO di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ir Izham berkata Kerajaan Negeri dalam proses untuk meminda Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 termasuk kaedah pelesenan lembu dan kerbau serta penggunaan tanda pengenalan kepada haiwan ternakan.
“Penggubalan itu penting bagi mengenal pasti pemilik dengan menggunakan tanda pengenalan pada setiap lembu dan kerbau. Proses pindaan enakmen itu mungkin mengambil masa yang lama namun kita tetap akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Izham berkata dalam tempoh itu, tindakan jangka pendek bagi menyelesaikan isu itu akan dilaksanakan antaranya pemerkasaan operasi penguatkuasaan terhadap pemilik haiwan.
Beliau berkata mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengambil tindakan atas kesalahan kacau ganggu manakala Pejabat Daerah dan Tanah boleh melaksanakan tindakan berkaitan penggunaan tanah dan syarat nyata tanah.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor juga boleh mengambil tindakan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) berkaitan pemilikan haiwan, manakala bagi Seksyen 289 Kanun Keseksaan, tindakan boleh dilakukan melibatkan kecuaian menjaga haiwan,” katanya.
Sumber: SelangorKini