SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz pada 2 Oktober depan.
Menurut kenyataan disiarkan melalui Facebook Selangor Royal Office hari ini, Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah di Klang.
Sementara Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September di seluruh masjid di Selangor.
"Majlis dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memohon doa semoga istiadat perkahwinan dan majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
"Pada tarikh berkenaan juga Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor turut berkenan berangkat ke Majlis Doa Selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di Shah Alam," katanya.
Sumber: Berita Harian