Program usahawan digital percuma diteruskan di Gombak 3 Oktober

Tarikh: 24/09/2024
img

SHAH ALAM, 23 SEPT: Usahawan tempatan dipelawa menyertai program keusahawanan digital secara percuma anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) pada 3 Oktober.

Ketua Jabatan Digitalisasi Sidec Salman Fua’ad berkata Program Selangor 1000 Digital siri kelima yang menjelajah ke daerah Gombak dijadual berlangsung di Hotel Mercure Selayang mulai 9 pagi hingga 5 petang.

“Pendigitalan (dalam perniagaan) ini penting, kalau tidak mula sekarang, kita akan ketinggalan sedangkan orang lain sudah mula fikir kedepan. Untuk asas buat usahawan, kena ambil ilmu-ilmu ini supaya boleh faham.

“Usahawan yang ada potensi besar, kami akan bantu mereka kembangkan lagi perniagaan. Itu cara kita pilih usahawan-usahawan ini.” beliau berkata demikian dalam program Hai Selangor terbitan Selangor TV.

Menurut Salman, peserta program berkenaan akan didedahkan dengan 10 topik berbeza menerusi kerjasama beberapa rakan strategik antara Affin Bank, TikTok Shop, Hijrah Selangor, Shopline dan Bizz App yang akan berkongsi tentang pengurusan perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan.

“Untuk kita bertahan dalam dunia digital, kita kena ada penyelesaian digital. Program Selangor 1000 Digital ini kita bawa 10 topik. Peserta boleh pilih topik yang ingin ditanya dengan pergi ke kaunter,” katanya,

Mei lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Selangor 1000 Digital merupakan kolaborasi antara Sidec, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Platform Selangor.

Hampir 2,700 usahawan disasar menerima manfaat program berkenaan yang akan menjelajah kesembilan daerah sehingga tahun depan.

Setakat ini program sudah berlangsung di daerah Petaling, Sabak Bernam, Sepang dan terbaharu di Hulu Langat sebelum berakhir di Gombak bagi tahun ini.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu