SHAH ALAM, 7 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan sebanyak 4,500 bubur lambuk Kampung Baru secara percuma sepanjang Ramadan ini.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Sapna Turmidi berkata agihan itu dilakukan dalam beberapa fasa di tiga lokasi berbeza, lapor Sinar Harian.
“Pada 12 Mac, kami akan agihkan bubur lambuk di Evo Mall, Bandar Baru Bangi manakala pada 20 Mac pula di pusat beli-belah Datum Jelatek, Kuala Lumpur.
“Ia bukan sahaja menyemarakkan semangat berkongsi rezeki tetapi sebagai tanda penghargaan PKNS kepada komuniti di mana pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bubur Lambuk Kasih PKNS di Kompleks PKNS Shah Alam, pada 4 Mac.
Pada majlis itu beliau mengagihkan 1,000 bubur lambuk kepada kakitangan PKNS dan 500 kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Sapna berkata sebanyak RM37,000 diperuntukkan untuk program yang menjadi tradisi tahunan perbadanan itu sejak 20 tahun.
Dalam pada itu, menurut Sapna, PKNS turut menyampaikan sumbangan Bakul Ramadan Kasih bernilai RM10,000 kepada Asnaf Mualaf Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Putra yang memanfaatkan 50 keluarga.
Sumber: SelangorKini