Pendidikan kukuh bantu Selangor lahir generasi berfikiran kreatif

Tarikh: 02/12/2024
img

SHAH ALAM, 1 DIS: Kemajuan dicapai negeri ini tidak hanya bersandar kepada industri perniagaan dan pelaburan langsung asing (FDI) semata-mata, sebaliknya turut disokong pengukuhan asas pendidikan.

Dato’ Menteri Besar berkata penekanan kepada bidang itu mampu melahirkan generasi yang memiliki keupayaan berfikir, mengawal emosi dan kemuliaan adab, yang bakal memanfaatkan pentadbiran negeri.

“Bila sistem pendidikan menyeluruh bertemu inovasi, teknologi moden dan pemikiran kreatif, kita akan meneroka transformasi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Ini mungkin impian besar tetapi tidak akan berhasil kalau tidak berbuat apa-apa. Jadi usaha negeri termasuk penganjuran Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) sebagai permulaan untuk menjadi lestari, berdaya huni dan dirahmati,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika merasmikan majlis penutup SES yang berlangsung sejak Rabu lalu di Pusat Konvensyen Setia Alam, dekat sini hari ini.

SES yang julung kali dianjur menghimpunkan empat ekspo utama iaitu Pesta Buku Antarabangsa Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Selangor, Ekspo STEM Selangor serta Worldskills Malaysia Selangor 2024.

Program dijangka menerima kehadiran lebih 300,000 pengunjung itu turut melibatkan kerjasama beberapa syarikat terkemuka seperti Apple, Siemens, Dassault Systemes dan Mendix.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu