Pavilion Selangor promosi produk tempatan, tembus pasaran eksport

Tarikh: 18/09/2024
img

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Penyertaan di Pavilion Selangor sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 berjaya meluaskan pasaran produk usahawan terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Citra Kesom Sdn Bhd Yazra Nadia Yahaya berkata jenama minuman fermentasi kombucha, Boomchaz kini bersedia untuk dieksport malah sudah ada pembeli berpotensi setelah kali kedua menyertai acara

“Produk kami sudah empat tahun. Ketika tahun pertama sertai MIHAS kami dapat maklum balas bahawa produk kita masih belum bersedia untuk eksport kerana faktor pembungkusan dan sebagainya.

“Jadi kali kedua ini kita perbaiki dan kami tampil dengan produk kombucha dalam bentuk paket dan serbuk berbanding botol sebelum ini yang lebih sesuai untuk dieksport malah sudah ada pembeli luar negara yang berpotensi,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Mamarai Ventures Sdn Bhd Yussahril Ismail berkata penyertaan di Pavilion Selangor memberi pendedahan kepada syarikatnya mengenai pasaran eksport.

“Walaupun baru dua tahun dalam pasaran, produk kami sudah tembusi pasaran pasar raya besar seperti Mydin, ST Rosyam dan Aeon Big.

“Jadi sempena MIHAS ini kami belajar mengenai eksport untuk luaskan lagi pasaran produk kami merangkumi pelbagai segmen antaranya sejuk beku ,” katanya.

Pavilion Selangor mengetengahkan tujuh syarikat tempatan sempena MIHAS 2024 merangkumi pelbagai segmen makanan dan minuman, logistik dan pergudangan serta kosmetik.

MIHAS 2024 dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bermula hari ini hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pameran tahun ini dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan 2,000 gerai pameran termasuk Pavilion Selangor selain pempamer dari 45 negara.

Mihas edisi ke-20 ini unik kerana menyaksikan pengenalan 14 kluster baharu termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu