SHAH ALAM, 20 APRIL: Orang ramai berpeluang mengelilingi kawasan sawah padi menghijau dengan trem dan beca elektrik di Festival Sawah Padi Sekinchan pada Sabtu dan Ahad depan.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata berlangsung di Terminal Sekinchan, pelbagai lagi aktiviti menarik menanti pengunjung termasuk festival makanan, pasar palong, demonstrasi wau kapal dan pertandingan perhiasan wau mini.
Aktiviti lain termasuk larian sawah padi, saringan kesihatan, ‘treasure hunt’ melawat Selangor, aktiviti kesukarelawanan kelestarian alam sekitar selain persembahan artis popular Aizat Amdan.
“Program ini akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Sabtu jam 4 petang. Jadi orang ramai dijemput beramai-ramai memeriahkannya kerana pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung sepanjang dua hari penganjuran festival ini,” katanya.
Menyasar kehadiran lapan juta pelawat, Tahun Melawat Selangor (TMS2025) menyediakan pelbagai aktiviti tarikan pelancong dengan Kerajaan Negeri berpotensi mencatat transaksi RM11.7 bilion.
Dalam Belanjawan 2025, RM8 juta disalur bagi persediaan rapi meliputi penyusunan pelbagai aktiviti, selain naik taraf kemudahan pelancongan demi merancak kehadiran pelawat ke sembilan daerah.
Lebih 100 program dan inisiatif dirancang sempena TMS2025 meliputi semua daerah babitkan sektor pelancongan ilmu, sukan, makanan dan minuman serta seni budaya dan warisan negeri.
Sumber: SelangorKini