SHAH ALAM, 6 MEI: Empat kantin tanpa lesen disita Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dalam Operasi Tindakan Penguatkuasaan dan Pengauditan (TABAS) di sekitar Dengkil baru-baru ini.
Menurut MPSepang, operasi itu dilaksanakan Unit Khas Jabatan Penguatkuasa dengan kerjasama beberapa jabatan berkaitan bagi memantau kantin di tapak projek melibatkan aspek kebersihan, keselamatan, struktur binaan dan pematuhan undang-undang.
“Hasil operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bangunan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kejuruteraan mendapati empat premis kantin disita di beberapa lokasi termasuk Bandar Baru Salak Tinggi dan Taman Salak Perdana manakala satu lokasi lain didapati tidak mempunyai premis kantin atau kedai runcit.
“Dalam operasi sama, empat notis kompaun turut dikeluarkan kepada pengusaha yang terlibat atas pelbagai kesalahan yang dikenal pasti sepanjang pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, MPSepang memaklumkan tindakan tersebut diambil di bawah Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPSepang) 2007 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
MPSepang turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha mematuhi peraturan ditetapkan serta tidak menjalankan aktiviti tanpa kebenaran.
Sumber: Media Selangor