MBDK laksana pelan jangka panjang, pendek atasi isu banjir

Tarikh: 18/04/2025
img

KLANG, 17 APRIL: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi kejadian banjir kilat di Klang minggu lalu.

Datuk Bandar Dato’ Abd Hamid Hussain berkata usaha itu adalah selaras dengan pelan tindakan mitigasi banjir Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS) untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Situasi banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Klang seperti Meru dan Sentosa itu bukan hanya melibatkan limpahan air sungai dari Klang malah melibatkan dari Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Antara usaha yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini adalah projek tebatan banjir dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Perkara tersebut mustahil untuk dilaksanakan dengan serta-merta. Jadi, projek yang sedang dijalankan adalah berperingkat dan perlu melalui pelbagai proses termasuk perolehan dan jajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mesra Aidilfitri MBDK 2025 di Dewan Hamzah disini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata pihaknya mengarahkan setiap pemaju perumahan yang berdekatan dengan kawasan terlibat untuk menyediakan kolam takungan dan menyelenggara sistem perparitan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat yang lebih teruk.

Katanya, MBDK juga tidak akan berkompromi dengan pemilik premis perniagaan yang tidak menguruskan sampah dengan baik sehingga mengakibatkan sistem saliran dan perparitan terjejas selain tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu