MB: Manfaat kerjasama negara jiran, bantu rancang pembangunan negeri

Tarikh: 11/09/2024
img

KOTA TINGGI, 11 SEPT: Kerjasama serantau antara Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak 30 tahun lalu membantu pembangunan Selangor, termasuk mengembangkan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar menjelaskan peluang duduk bersama membolehkan pelbagai isu diutara dan dibincangkan meliputi aspek kelestarian mampan, ekonomi dan pengukuhan peranan kewangan.

“Hubungan dengan negara jiran dan wilayah serantau akan membantu rancangan pembangunan. Ini satu peluang yang baik dan harus dimanfaatkan termasuk perkembangan RS-1.

“Kalau diberi peluang, Selangor juga mahu kongsikan pengalaman dan beberapa kejayaan. Tahun ini Johor jadi tuan rumah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Desaru Coast di sini.

Beliau ditemui selepas menyertai forum ketua menteri dan gabenor ke-21 sempena persidangan mesyuarat segi tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) ke-30 hari ini.

Sebelum ini, Amirudin berkata pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey akan memastikan Malaysia terus menjadi penyedia perkhidmatan pelabuhan unggul dan premium di rantau ini.

Beliau menjelaskan rancangan bawah Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) itu juga bakal memberi pulangan ekonomi berterusan kepada negeri.

Amirudin menjelaskan forum itu mencambah idea bagi memantapkan lagi pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat, supaya Selangor terus menjadi lokasi tumpuan aktiviti ekonomi.

“(Sekarang) kita ada Pelabuhan Klang, tersibuk di Asia. Melalui persidangan ini, kita akan manfaatkannya untuk pelabuhan ketiga seperti kawasan zon ekonomi,” katanya.

Forum yang dipengerusikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi membincangkan kerjasama duntuk memanfaatkan peluang ekonomi rantau ini selain pembangunan kelestarian mampan dan perubahan iklim.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusof dan Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, selain delegasi Indonesia dan Thailand turut menyertainya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dijadual mempengerusikan mesyuarat menteri IMT-GT esok, yang turut dihadiri Timbalan Penyelaras Kerjasama Ekonomi Antarabangsa Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Edi Prio Pambudi.

IMT-GT yang berlangsung sejak kelmarin hingga Jumaat merupakan platform kerjasama ekonomi 10 wilayah di Sumatera, Indonesia, 11 negeri Semenanjung Malaysia serta 14 wilayah di Selatan Thailand.

Persidangan tahunan itu berperanan memacu pertumbuhan mampan dan mengukuhkan integrasi ekonomi di seluruh wilayah anggotanya melalui perdagangan dan pelaburan.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu