KOTA BHARU, 3 JAN: Lebih 100 tan sisa banjir dikutip Skuad Ihsan Madani menerusi operasi pembersihan di Kelantan baru-baru ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kesemua sisa banjir itu melibatkan pembersihan infrastruktur awam yang terkesan selain rumah penduduk terjejas.
“Selain sumbangan bantuan RM500,000 kita juga hantar 136 anggota antaranya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Sukan Negeri dan sukarelawan.
“Lebih 100 tan sampah dapat dikutip dan kita bantu selesaikan berdasarkan pengalaman yang menimpa Selangor pada 2021. Penting kita bantu rakyat supaya pemulihan mental tidak terganggu akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis serahan cek cura bantuan banjir kepada Kerajaan Kelantan yang diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasmi di Kota Bharu semalam.
Baru-baru ini, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri menggerakkan Skuad Ihsan Madani terdiri daripada anggota PBT dan sukarelawan ke Kelantan bagi operasi pascabah.
Jelasnya, pasukan melibatkan 45 jentera antaranya lori tangki dan lori Roro untuk menjalankan kerja pembersihan selama tiga hari. Skuad yang turut disertai syarikat kutipan sampah negeri KDEB Waste Management.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menghantar pasukan bantuan bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Terengganu dan Johor.
Sumber: SelangorKini