MB: Jayakan Tahun Melawat Selangor 2025, dana pelancongan ditambah

Tarikh: 04/11/2024
img

SEPANG, 3 NOV: Kerajaan Negeri berhasrat menambah peruntukan sektor pelancongan dalam belanjawan tahun depan bagi menjayakan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS25).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sektor itu menerima peruntukan RM5.3 juta pada tahun ini bagi melaksana perancangan menjelang TMS25. “Kita telah lihat pelbagai perancangan dan nanti saya akan umumkan dalam Belanjawan 2025, khususnya produk pelancongan yang menarik untuk pelancong.

“Tahun (belanjawan) sebelum ini kita sediakan RM5.3 juta untuk pelancongan dan nanti kita akan tambah jumlah tersebut,” katanya selepas melancarkan logo Tahun Melawat Selangor 2025, semalam.

Beliau ditemui di reruai Tourism Selangor sempena perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad. Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor bukan sekadar menawarkan pelancongan moden namun turut memiliki pelbagai pilihan lokasi pelancongan estetik.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menyasar kehadiran lapan juta pelancong sempena TMS25 membabitkan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kempen ini akan menyerlahkan kepelbagaian tawaran pelancongan negeri, termasuk pelancongan eko dan agro, taman tema, pelancongan perubatan, pengalaman kulinari dan pelancongan sukan,” katanya.

Sumber: SelangorKini

Radio MPSepang
Semarak Harimu