SEPANG, 3 JUL: Lima projek pemacu dikenal pasti sebagai teras utama transformasi daerah Sepang dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang 2035 (Penggantian).
Dato’ Menteri Besar berkata projek berkenaan merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk pembangunan bandar pintar berteknologi tinggi, koridor industri, aeroangkasa, jaringan pengangkutan awam serta mitigasi banjir.
Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, kesemua komponen itu akan menjadi tulang belakang kepada pemajuan Sepang dan sejajar dengan perancangan menyeluruh pembangunan negeri.
“Visi pembangunan Sepang iaitu ‘Sepang Gerbang Teknologi Strategik Dalam Komuniti Lestari’ amat bertepatan dengan aspirasi pembangunan negeri kepada usaha untuk mempromosi Selangor sebagai hab pelaburan dan perdagangan berteknologi tinggi dipacu aktiviti perindustrian serta perkhidmatan dengan nilai tambah yang tinggi seperti di Cyberjaya.
“Draf rancangan tempatan ini penting dalam bentuk projek, program, kawalan dan pengurusan yang akan menjadi tonggak dalam memandu arah pembangunan daerah Sepang supaya menepati dan melengkapkan lagi pembangunan negeri iaitu Kornubasi Selangor secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPSepang 2035 (Penggantian) di sini hari ini.
Lima Projek Pemacu Sepang 2035:
Cyberjaya sebagai hab teknologi tinggi serantau
– menampilkan elemen bandar pintar, zon ujian dron dan robotik, reka cipta semikonduktor serta industri digital kreatif
Pembangunan KLIA Aeropolis
– pusat logistik dan aeroangkasa bersepadu yang membuka potensi sektor mobiliti udara maju
Selatan Sepang sebagai destinasi pelancongan ekologi dan budaya
– menyatukan warisan tempatan dengan kemudahan sokongan pelancongan yang inklusif
Jaringan pengangkutan awam dan rel bersepadu
– melibatkan sambungan BRT, MRT dan monorel dari Cyberjaya ke Salak Tinggi hingga Bagan Lalang
Mitigasi banjir melalui pelaksanaan bandar span
– fokus kepada infrastruktur hijau dan sistem saliran mampan sebagai sebahagian daripada usaha adaptasi iklim.
Dalam sidang media, Amirudin turut menekankan keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bersikap progresif dalam menyepadukan keperluan masyarakat, pembangunan teknologi serta pemeliharaan alam sekitar.
“Inilah aspek yang perlu diberikan perhatian. PBT boleh secara proaktif mendekati kelompok dan pasukan pakar untuk menangani isu spesifik seperti perubahan iklim, teknologi dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSepang Muhamad Shah Osmin berkata program publisiti dan penyertaan awam bagi draf berkenaan bermula 1 Julai hingga 1 Ogos depan.
“Pemeriksaan laporan draf berkenaan boleh dibuat di Kompleks MPSepang, pejabat Projek Zon Tengah PLANMalaysia, pejabat PLANMalaysia Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah Sepang.
“Saya menyeru penglibatan dan komitmen penuh daripada semua pihak untuk memberi pandangan membina, idea bernas serta cadangan relevan melalui semakan draf rancangan tempatan sepanjang tempoh publisiti berlangsung,” katanya.
Sumber: SelangorKini