SEPANG, 26 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mengenal pasti lima projek yang bakal memacu kepada transformasi pembangunan dan sosioekonomi penduduk.
Timbalan yang dipertuanya berkata MPSepang bermatlamat menjadikan daerah itu sebagai Gerbang Teknologi Strategik dalam Komuniti Lestari dengan slogan Sepang, Lestari, Pintar.
“Sebanyak lima projek pemacu dikenal pasti sebagai ‘game changer’ yang bakal merubah landskap pembangunan dan sosioekonomi penduduk,” kata Muhamad Shah Osmin.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Draf Rancangan Tempatan Sepang 2035 (Penggantian) dalam Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli MPSepang, semalam.
Menurut beliau, projek itu termasuk menjadikan Cyberjaya sebagai hab teknologi tinggi serantau serta pembangunan KLIA Aeropolis sebagai pusat logistik dan aeroangkasa bersepadu.
“Selain itu, selatan Sepang akan diangkat sebagai destinasi pelancongan ekologi dan budaya; penambahbaikan Pelan Induk Perhubungan Darat serta perancangan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dengan konsep pelaksanaan Bandar Span,” katanya.
Muhamad Shah menambah MPSepang juga mengetengah projek strategik mengikut sektor dan fasa dengan jangkaan janaan nilai kadar dalam negara kasar (KDNK) tahunan RM 30 billion menjelang 2035.
“Program ini memberi ruang kepada penduduk dan pihak berkepentingan mengemukakan pandangan terhadap draf ini,” katanya.
Sumber: SelangorKini