SHAH ALAM, 18 JUN: Seramai 331,193 keluarga di Selangor kini menerima manfaat air percuma 20 meter padu sebulan menerusi Skim Air Darul Ehsan (SADE).
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), skim itu ditawarkan kepada warganegara yang menetap di negeri ini dengan pendapatan isi rumah bulanan bawah RM5,000.
Menerusi kenyataan di Facebook, agensi itu mempelawa lebih ramai rakyat yang layak untuk segera memohon memandangkan permohonan masih dibuka sehingga hujung tahun ini.
“Skim ini antara inisiatif penting bagi meringankan kos sara hidup rakyat, selari dengan komitmen Kerajaan Negeri memastikan kebajikan dan keperluan asas penduduk terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Bermula 1 Oktober 2022, had kelayakan pendapatan isi rumah bagi permohonan SADE dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.
Setakat Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri menanggung kos melebihi RM30 juta bagi membiayai skim ini demi memastikan lebih ramai keluarga berpendapatan rendah dapat menikmati bekalan air bersih secara percuma.
Orang ramai yang ingin memohon boleh melayari laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com/services/sade
Sumber: SelangorKini