KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyenarai hitam 109 pemaju hartanah kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata antara kesalahan dilakukan pemaju terbabit termasuk gagal mengemukakan laporan status pembangunan serta laporan audit termasuk kunci kira-kira dan penyata untung rugi kepada pihak berkuasa.
"Pemaju yang disenarai hitam tidak layak untuk memohon lesen baharu sehingga mereka menyelesaikan bayaran denda tertunggak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Projek Perumahan Mampu Milik ke-14, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata tindakan senarai hitam itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KPKT untuk melindungi kepentingan pembeli rumah.
"Tindakan menyenarai hitam pemaju-pemaju ini memberi mesej jelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan ketidakpatuhan.
"Kami mengambil tindakan tegas untuk melindungi wang hasil titik peluh pembeli rumah dan memastikan mereka menerima rumah yang mereka layak.
"Keselamatan pembeli rumah kekal antara keutamaan kementerian. Pemaju perlu mematuhi peraturan bagi memastikan projek mereka disiapkan mengikut masa dan mematuhi piawaian yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming menasihatkan pembeli rumah untuk menyemak terlebih dahulu status lesen pemaju di laman web rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/ sebelum membuat sebarang komitmen kewangan bagi membeli hartanah.
"Kami komited menegakkan pematuhan peraturan bagi melindungi hak pembeli rumah dan memastikan pasaran perumahan yang adil dan telus untuk semua," katanya.
Sumber: Berita Harian Online