Kes denggi di Selangor turun ketara, tindakan bersepadu berkesan

Tarikh: 02/07/2025
img

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kes demam denggi di Selangor dilaporkan terkawal dan terus mencatatkan trend penurunan ketara sehingga kini, maklum EXCO kesihatan awam.

Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 398 kes direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-26 (ME26) iaitu dari 22 hingga 28 Jun, menurun 6.4 peratus berbanding 425 kes pada minggu sebelumnya.

“Kumulatif kes demam denggi di Selangor setakat ini mencatatkan 13,275 kes, penurunan sebanyak 65.9 peratus berbanding tempoh sama iaitu 38,920 kes pada tahun lalu.

“Dalam tempoh sama, jumlah lokaliti wabak aktif juga menunjukkan penurunan kepada 135 lokaliti, berbanding 156 pada ME25 iaitu pengurangan sebanyak 13.46 peratus,” katanya menerusi kenyataan.

Jamaliah menambah jumlah kematian juga mencatatkan penurunan kepada hanya empat kematian berbanding 12 dalam tempoh yang sama pada 2024.

Jelasnya, daerah Petaling kekal mencatat jumlah kes tertinggi dengan 57 kes diikuti Hulu Langat (34) dan Klang (28), namun kes di ketiga-tiga daerah tersebut masih menurun berbanding minggu sebelumnya.

“Hanya enam lokaliti wabak aktif dilaporkan di Gombak diikuti Kuala Selangor (lima) Kuala Langat (empat) dan Hulu Selangor (satu). Tiada lokaliti wabak aktif direkodkan di Sepang dan Sabak Bernam,” katanya.

Jamaliah berkata trend penurunan ini membuktikan keberkesanan tindakan bersepadu antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam usaha membendung wabak.

“Bagaimanapun, orang ramai perlu terus berwaspada dan memastikan kawasan kediaman serta persekitaran sentiasa bebas daripada tempat pembiakan Aedes, terutama menjelang musim hujan,” tambahnya.

Sumber: SelangorKini 


Radio MPSepang
Semarak Harimu