Jualan Ehsan Rahmah kembali 13 Januari, jenis produk ditambah

Tarikh: 09/01/2025
img

SHAH ALAM, 8 JAN: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk tahun ini akan kembali menjelajah ke serata negeri mulai 13 Januari.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan inisiatif jualan murah barangan asas itu berhenti selama 12 hari mulai 1 Januari untuk proses penyenggaraan kenderaan dan gudang.

“JER akan berehat seketika pada 1 hingga 12 Januari sempena hari pelepasan am sambutan tahun baharu dan tempoh selenggara kenderaan serta gudang,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan JER yang menjual enam produk utama keperluan penduduk bakal bertambah kepada 12 jenis produk mulai tahun ini.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta bagi pelaksanaan JER, sekali gus membuktikan komitmen pentadbiran negeri membantu meringankan sara hidup rakyat berpendapatan rendah.

Ketika membentangkan belanjawan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor turut menyasarkan pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang akhir tahun ini. Cawangan pasar raya tersebut telah dibuka di Sungai Tua, Pandan Indah dan bakal dibuka di Hulu Kelang.

Pasar raya kendalian PKPS itu menawarkan barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran. Ehsan Mart yang diwujudkan sebagai penambahbaikan program JER turut menyasarkan pembukaan di 56 kawasan DUN menjelang 2027.

Selain itu, PKPS dengan kerjasama Segi Fresh menyasarkan pembukaan 10 cawangan Pasaraya Ehsan Segi Fresh. Pasar raya pertama telah dibuka di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Sumber: SelangorKini

Radio MPSepang
Semarak Harimu