GOMBAK, 18 APRIL: Gagasan Rumpun Selangor (GRS) edisi kedua dijangka tampil dengan program lebih besar membabitkan pelan lima tahun Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
EXCO kemajuan desa berkata Kerajaan Negeri merangka konsep GRS 2.0 yang diketuai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
“Edisi kedua GRS masih lagi dalam perancangan dan kita sedang bincang konsep yang akan diketengahkan.
“GRS 2.0 juga dijangka menonjolkan kebersamaan seluruh agensi Kerajaan Negeri dan istana selain mungkin akan diadakan dengan lebih besar,” kata Datuk Rizam Ismail semalam.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penutup Program GRS 2024 di Gamuda Luge Garden, Rawang yang disempurnakan Tengku Amir Shah.
Rizam menambah program GRS diilhamkan daripada kedudukan Selangor yang disifatkan sebagai ‘mini Malaysia’ berikutan mempunyai masyarakat pelbagai latar belakang.
Menurutnya, program jelajah berkenaan berjaya mendekatkan lagi rakyat dengan pentadbiran negeri selain memahami lebih dekat keistimewaan dan tarikan tempatan di daerah masing-masing.
“Sepanjang program ini, saya berpeluang menyaksikan sendiri keprihatinan, komitmen dan keikhlasan Raja Muda Selangor untuk menyantuni segenap lapisan masyarakat
“GRS ini membuka peluang untuk kita memahami lebih dekat keistimewaan kebudayaan, warisan dan tempat-tempat menarik di setiap daerah di Selangor,” katanya.
GRS diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
GRS telah menjelajah ke semua daerah bermula Februari tahun lalu, dimulakan dengan Hulu Selangor dan berakhir di Gombak.
Sumber: SelangorKini