Festival Kebudayaan Orang Asli, iktiraf kepelbagaian budaya, adat resam

Tarikh: 11/07/2025
img

SHAH ALAM: Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Kebudayaan Orang Asli sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia Selangor 2025 yang akan berlangsung di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, 9 Ogos ini.

EXCO Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan dan Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti Selangor, V Papparaidu, berkata program kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Wilayah Persekutuan dan Selangor itu bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat Orang Asli.

"Penganjuran ini adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri untuk memastikan komuniti Orang Asli terus diperkasa dari aspek budaya, pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Antara objektif utama festival ini adalah menyemarakkan jati diri dan warisan budaya pelbagai etnik Orang Asli seperti Temuan, Mah Meri dan Semai.

"Selain itu meningkatkan kesedaran awam terhadap hak, sejarah dan cabaran

masyarakat Orang Asli selain menyediakan ruang untuk pemerkasaan dalam bidang seni, kraftangan, makanan tradisional dan keusahawanan.

"Ia juga bagi mempromosi kampung Orang Asli sebagai destinasi pelancongan budaya dan alam semula jadi di Selangor," katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik terdapat lebih 20,000 masyarakat Orang Asli di Selangor membabitkan 74 kampung di tujuh daerah.

Katanya, masyarakat Orang Asli masing-masing mengekalkan budaya tersendiri seperti tarian Sewang, Jo'oh, seni ukiran Mah Meri dan pelbagai ritual leluhur yang kaya dengan nilai murni.

"Pelbagai kejayaan komuniti Orang Asli di Selangor juga telah dibuktikan menerusi pencapaian dalam bidang pendidikan, seni dan advokasi, termasuk pengiktirafan antarabangsa terhadap komuniti Mah Meri di Pulau Carey," katanya.

Sumber: Berita Harian


Radio MPSepang
Semarak Harimu