Fenomena air pasang besar bermula hari ini sehingga Sabtu

Tarikh: 17/09/2024
img

SHAH ALAM, 17 SEPT: Pusat Operasi Bencana Daerah Klang (DDOC) mengeluarkan jadual air pasang surut dan taburan hujan susulan fenomena air pasang besar yang diramal mulai hari ini hingga Sabtu.

Berdasarkan infografik di Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Klang, bacaan paras air paling tinggi dijangka mencecah 5.8 meter jam 7.23 pagi, Jumaat ini selain ribut petir di beberapa tempat.

Pada 18 September, bacaan paras air laut pada tahap 5.5 meter jam 6.08 pagi, manakala sebelah petang dijangka mencapai 5.2 meter, kedua-duanya bersama ramalan ribut petir.

Pada Khamis (19 September) pula, bacaan paras air laut adalah 5.7 meter jam 6.47 pagi dan hujan, sementara sebelah petang jam 6.59 dijangka mencecah 5.2 meter tanpa hujan.

Ramalan pada Jumaat (20 September) pula menunjukkan bacaan pada tahap 5.2 meter jam 7.36 petang dan cuaca diramalkan baik pada waktu tersebut

Pada hari terakhir (21 September), bacaan paras air laut adalah 5.6 meter jam 7.56 pagi, manakala air laut dijangka setinggi 5 meter jam 8.11 malam, dengan cuaca diramal baik sepanjang hari.

Pusat Operasi Bencana Klang boleh dihubungi menerusi talian 03-3371 6700 atau menerusi aplikasi WhatsApp 010-973 1963.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu