SHAH ALAM, 12 SEPT: Syarat pendaftaran taman asuhan kanak-kanak (taska) akan diseragam dan diselaras bagi memudahkan kelulusan bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata tindakan akan dibuat jawatankuasa khas yang ditubuhkan Ogos lalu, untuk memastikan kelancaran pendaftaran terutama berkait isu teknikal.
“Kuasa pemutihan dan penguatkuasaan akta ada pada JKM, bukan bawah Kerajaan Negeri. Pun begitu, Selangor akan cuba memudahkan pendaftaran taska dan pusat jagaan kanak-kanak ini.
“Kita akan kaji, seragam dan selaraskan syarat pendaftaran khasnya daripada agensi teknikal menerusi jawatankuasa khas. Bukan untuk mendaftarkan taska,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya lagi, proses pendaftaran taska mengambil masa sekitar enam bulan jika pengusaha menepati syarat dan melengkapkan dokumen yang ditentukan JKM.
Dalam perkembangan sama, Anfaal berkata pihaknya juga akan berbincang dengan JKM untuk membuat saringan mental dan semakan latar belakang pengasuh di taska demi keselamatan kanak-kanak.
“Selain memastikan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di taska, pihak JKM juga akan buat pemantauan setiap enam bulan bagi operasi taska berdaftar untuk pencegahan,” katanya.
Dalam temu bual bersama SelangorTV sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah JKM Selangor Roziah Osman memberitahu sebanyak 226 taska di negeri ini belum berdaftar bawah jabatan itu.
Bagi mengatasi perkara itu, beliau berkata program kesedaran giat dijalankan bagi memastikan pengusaha terlibat mengambil tindakan susulan untuk mengelak perkara tidak diingini.
Sebelum ini, tular isu kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi serta kanak-kanak oleh pengasuh di taska dan pusat jagaan hingga ada yang meragut nyawa.
Sumber: SelangorKini