SEPANG, 17 NOV: Kerajaan Negeri menerusi menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) menerima pengktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi penyertaan terbanyak sesi makan punten melibatkan 2,954 peserta.
Punten, makanan tradisi masyarakat Jawa dari kawasan Tanjung Karang, Kuala Selangor merupakan juadah seperti nasi himpit yang diperbuat daripada santan, kelapa parut, garam dan daun pandan dimakan dengan sambal hijau ikan bilis.
Rekod dicipta pada Festival Makanan Warisan Selangor 2024 berlangsung di Pantai Bagan Lalang di sini, dirasmikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, hari ini.
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata festival berkenaan bertujuan menonjol dan mengetengahkan kepelbagaian warisan makanan di Selangor yang kian dilupakan.
“Generasi muda semakin kurang mengenali makanan warisan justeru program ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepelbagaian juadah tradisi di Selangor serta kepentingan untuk memelihara dan menghargai budaya makanan tempatan.
“Program ini juga berperanan menyokong pengusaha dan penggiat makanan warisan selain menjadikan kulinari masakan tradisional sebagai salah satu tarikan pelancong,” katanya menyampaikan sembah ucapan pada festival berkenaan.
Borhan berkata festival tahun ini turut diberi pembaharuan dengan penyediaan pavilion makanan warisan mengikut daerah yang dilaksanakan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama Pejabat Daerah di seluruh Selangor.
“Setiap pavillon menyediakan juadah tradisi popular di daerah dan kawasan masing-masing yang dihidangkan secara percuma kepada pengunjung dengan 36 menu disediakan termasuk lemper, balungan hayam, tat bengkulu, bebotok, kelemai, lontong, Loh Mai Kai, sate Kajang, nasi ambeng dan banyak lagi,” katanya.
Ditemui selepas program itu, Borhan berkata sempena Tahun Melawat Selangor tahun depan, festival berkenaan dirancang dalam skala lebih besar yang dijangka akan mengetengahkan makanan warisan pelbagai etnik di Selangor seperti Bugis, Banjar, Minang dan Bangkahulu.
“Ini bagi memastikan makanan warisan Selangor diperkasa merentas generasi dan tidak dilupakan,” katanya.
Terdahulu Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyaksikan penyampaian sijil pengiktrafan MBOR kepada Borhan oleh wakil MBOR Mohamad Nazrul Hafizi.
Sumber: SelangorKini