EXCO: Pergiat sesi libat urus pemilik taska, tingkat kualiti perkhidmatan, asuhan

Tarikh: 23/12/2024
img

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri akan memperhebat sesi libat urus dan program pendidikan perlindungan kanak-kanak bersama pemilik taska pada tahun depan.

EXCO kebajikan masyarakat berkata program melibatkan 1,028 pengusaha taska di negeri ini antara usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk asuhan selain mematuhi peraturan ditetapkan.

“Program ini akan dilaksanakan dengan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Kita baharu sahaja selesai sesi libat urus dengan 250 pengusaha taska. Insya-Allah kita akan adakan lagi beberapa sesi pada tahun depan.

“Sesi libat urus ini juga membolehkan kita menambah baik beberapa perkara. Matlamat utama kita ialah mahu melihat pengoperasian semua taska pada tahap terbaik,” kata Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas larian Batik Family Fun Run sempena Hari Kanak-kanak 2024 peringkat Selangor di Laman Budaya, Persiaran Tasik Seksyen 14, di sini hari ini.

Anfaal berkata pihaknya juga bercadang menganjurkan sambutan Hari Keluarga tahun depan bagi mengingatkan masyarakat berhubung peranan kekeluargaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) yang ditubuh khusus untuk membela nasib serta masa depan anak kelainan upaya (OKU) dijadual beroperasi Januari depan.

“Kita cadang untuk melantik Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai penaung,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024, Dato’ Menteri Besar berkata YANIS bakal ditubuhkan bagi memperluas perkhidmatan kepada OKU tanpa mengira had umur berbanding sebelum ini hanya melibatkan bawah 18 tahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selaras matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1), YANIS ditubuh untuk mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat dengan tumpuan terhadap kumpulan sasar.

Selain itu, katanya tumpuan turut diberikan kepada program pendidikan anak OKU, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu