Empat tapak sampah haram dikenal pasti di Dengkil

Tarikh: 30/06/2025
img

SEPANG - Sebanyak empat tapak pembuangan sampah haram dikenal pasti di sekitar Dengkil hasil rondaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan maklumat awam yang diterima.

MPSepang memaklumkan, susulan itu Unit Kawalan Sampah, Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap aktiviti pelupusan sampah haram di lokasi berkenaan.

Menurutnya, operasi yang bermula jam 8 hingga 11 malam itu turut mendapat kerjasama agensi teknikal serta keselamatan seperti Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perancangan Bandar, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sepang serta pihak polis.

"Antara lokasi yang dikenal pasti ialah di Lot 128752, Bukit Damar, Dengkil kerana terdapat kesan pembuangan sampah baharu yang turut terbakar dan tindakan intipan serta pemantauan berkala akan diteruskan.

"Selain itu, di Lot 111352, Bukit Damar, Dengkil juga merupakan salah satu lokasi berikutan kesan sampah baharu ditemui di kawasan pelupusan lama dan pemantauan berkala juga akan diteruskan.

"Di Lot 619, Bukit Jenuk, Namtak, Dengkil turut didapati kesan pembuangan sampah baharu serta sebahagian kawasan telah diratakan dan hasil semakan bersama PTD Sepang menunjukkan tanah tersebut dikenal pasti milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah MPSepang, lokasi terakhir yang dikenal pasti ialah di Lot 17846, Jalan Ayer Hitam, Kampung Batu 1, Dengkil susulan kesan pembuangan sampah baharu serta aktiviti meratakan tanah.

Ujarnya, berikutan itu, tindakan sitaan terhadap lori sampah haram telah dilaksanakan pada jam 10 malam di lokasi terbabit ketika operasi berkenaan.

"Tindakan sitaan dan notis dilakukan di bawah kesalahan Peruntukan 4 iaitu Akta Undang-Undang Kecil (UUK) pemungutan, pembuangan dan pelupusan sampah sarap (MPSepang) 2007.

"Operasi ini mencerminkan usaha berterusan Jabatan Penguatkuasaan MPSepang dalam membanteras aktiviti pelupusan sampah haram menerusi kerjasama strategik bersama agensi teknikal dan keselamatan di peringkat daerah," ulasnya.

Sumber : Sinar Harian 

Radio MPSepang
Semarak Harimu