SHAH ALAM, 19 SEPT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan mengkaji penggunaan kaedah digital bagi penyaluran bantuan Insentif Haji Muassasah kepada jemaah.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata kaedah itu dapat mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan agihan sampai kepada jemaah dengan segera.
“Antara langkah awal Yayasan MBI bekerjasama dengan Tabung Haji (TH) Selangor menggantikan kaedah sedia ada iaitu serahan dibuat melalui program dan majlis di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“TH Selangor akan membekalkan kad debit untuk membolehkan jemaah dapat duit lebih cepat dan mereka melakukan sebarang pembelian dengan mudah ketika di Tanah Suci,” katanya kepada Media Selangor.
Ahmad Azri memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan TH Selangor dengan membuat hebahan insentif tersebut bagi memastikan jemaah tidak tercicir daripada menerima bantuan disediakan Kerajaan Negeri.
“Tahun depan, Yayasan MBI diberi slot pada kursus perdana jemaah haji untuk memberi penerangan mengenai insentif. Ia untuk memastikan tiada lagi isu informasi tidak sampai kepada mereka kerana semua akan hadir.
“Kerjasama lain juga membekalkan risalah mengandungi informasi bantuan di seluruh pejabat cawangan TH Selangor,” jelasnya.
Sumber: SelangorKini