SHAH ALAM, 13 SEPT: Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ 2024) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sepanjang tiga hari mulai 4 Oktober menyasarkan transaksi jualan RM2 juta.
Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof optimis sasaran itu mampu dicapai dengan penglibatan lebih 200 pempamer daripada pelbagai industri yang dijangka menarik 45,000 pengunjung.
“Kita menyasarkan meraih transaksi jualan RM2 juta dengan kekuatan vendor dan pempamer yang ada termasuk dari Indonesia,” katanya dalam program bual bicara Hai Selangor terbitan SelangorTV, semalam.
Bertemakan ‘Melangkah lebih jauh’, Yuzawati juga yakin SELBIZ 2024 dapat meluaskan lagi pasaran perniagaan usahawan terlibat seterusnya menyumbang kepada ekonomi negeri.
“SELBIZ 2024 berhasrat menjadi platform terbaik kepada semua usahawan dalam mempromosikan produk dan perniagaan mereka kepada masyarakat di bawah satu bumbung dan meningkatkan jaringan perniagaan samada melalui kaedah peniagaan kepada pelanggan atau perniagaan kepada peniagaan.
“Diharap SELBIZ 2024 juga memberikan kepuasan berganda kepada semua usahawan dan pengunjung,” katanya.
Menurut Yuzawati, Selbiz kali ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, sesi ramah mesra bersama pemain Selangor FC, persembahan silap mata, zoo mini dan pertandingan papan luncur.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis popular antaranya Hael Husaini, Syamel, Akim Majistret, Sarah Suhairi dan 6ixth Sense.
Sumber: SelangorKini