Dua kejohanan golf antarabangsa meriahkan Tahun Melawat Selangor 2025

Tarikh: 15/01/2025
img

PETALING JAYA, 15 JAN: Kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) dimeriahkan dengan penganjuran dua kejohanan golf antarabangsa di Kelab Golf Seri Selangor, di sini.

Dimulakan dengan Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Selangor yang berlangsung esok hingga 18 Januari, diikuti PKNS Selangor Masters dari 22 hingga 25 Januari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dua kejohanan itu diharap dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Selangor.

“Kejohanan golf ini menjadi sebahagian daripada kalendar Tahun Melawat Selangor 2025. Saya turut dimaklumkan ada peningkatan ketara pelancong dan saya percaya ini sebahagian daripada acara untuk tarik kehadiran pelancong.

“Kejohanan ini juga membuktikan kita bukan hanya anjurkan pertandingan peringkat antarabangsa, tetapi juga program pembangunan dan melahirkan pemain masa depan,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Selangor dan PKNS Selangor Masters, diiringi Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas.

Kejohanan Golf Antarabangsa Remaja Selangor 2025 Ke-4 menyaksikan penyertaan 127 peserta berumur 12 hingga 18 tahun dari 14 negara seperti Australia, Jepun, Thailand dan Korea Selatan.

Manakala kejohanan PKNS Selangor Masters edisi ke-12 disertai 144 pemain golf professional tempatan dan antarabangsa dengan ganjaran 200,000 US Dollar kepada pemenang.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu