Dr Ani Ahmad tekad jadikan Sepang perbandaran hijau, berteknologi tinggi

Tarikh: 09/07/2025
img

SHAH ALAM, 8 JULAI: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) tekad mahu menjadikan daerah itu kawasan hijau, bersih, mampan, berteknologi dan lestari.

Dr Ani Ahmad, 53, yang baharu dilantik menjawat jawatan tersebut berkuat kuasa semalam berkata lebih 50 peratus kawasan Sepang masih belum dibangunkan.

Mantan yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) itu turut menyatakan hasrat meneruskan dasar dan misi sedia ada selain memerlukan tempoh tiga bulan bagi meneliti dan tangani isu setempat.

“Sepang berbeza dengan Ampang Jaya kerana lebih 50 peratus kawasannya masih belum dibangunkan dan perancangannya juga dilihat lebih teratur serta terancang.

“Selain fokus pembangunan, kita akan perkasakan aspek pelancongan dan penglibatan komuniti bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih kondusif untuk masa depan warga Sepang,” katanya pada sidang media semalam.

Dr Ani berkata isu berkaitan lalat dan sampah haram juga akan diteliti secara serius kerana adakalanya ia merupakan sisa luar dari daerah itu.

“Saya mohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang bagi membolehkan saya menyelaras keutamaan bersama pasukan pentadbiran MPSepang,” katanya.

Majlis angkat sumpah turut dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Daerah Sepang Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu serta Timbalan YDP MPSepang Muhamad Shah Osmin.

Dr Ani berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2015. Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dari Universiti Malaya serta Diploma Pentadbiran Awam Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Memulakan khidmat dalam sektor awam sejak 2001, beliau berpengalaman luas termasuk di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian. Pada 2021, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Hulu Langat sebelum menerajui MPAJ hingga 2023.

Sumber: SelangorKini 

Radio MPSepang
Semarak Harimu