SHAH ALAM, 28 NOV: Bekas gabenor Bank Negara Malaysia bakal menyampaikan syarahan perdana dalam Dialog Shah Alam di Universiti Industri Selangor (Unisel) pada 5 Disember.
Tan Sri Muhammad Ibrahim dijadual mengupas topik bertajuk Transformasi Ekonomi Malaysia: Perspektif Terhadap Globalisasi dan Perkembangan Geopolitik dalam Perdagangan, Pekerjaan dan Pendidikan pada jam 11 pagi.
Turut tampil Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Profesor Kehormat Unisel Prof Dr Susela Devi yang menjadi ahli panel dalam forum bertajuk Memperkasa Ekonomi Rakyat: Jalan Menuju Kesejahteraan Sosial pada jam 8 pagi.
Program anjuran Selangor Research Institute (SRI) dan Institut Darul Ehsan (IDE) terbuka kepada semua khususnya pemimpin, pembuat dasar, penjawat awam dan mahasiswa.
Dialog cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kali kedua diadakan selepas pertama kali diajur pada 2019 sebelum tertangguh berikutan pandemik Covid-19.
Ketika itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamed mengupas kepentingan peranan penjawat awam dan ahli politik dalam membawa kemajuan.
Sumber: SelangorKini