Cukai taksiran: Kenaikan 25 peratus di semua PBT mulai 1 Januari 2025

Tarikh: 09/12/2024
img

SHAH ALAM, 9 DIS: Selangor mengumumkan penilaian semula cukai taksiran dengan kadar kenaikan 25 peratus membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT), bermula 1 Januari 2025.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata pemilik harta akan menerima diskaun sehingga 75 peratus menerusi kadar baharu itu, berbanding kenaikan 100 peratus yang sepatutnya dibuat.

“Sebagai contoh, jika cukai taksiran pangsapuri yang dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, selepas penilaian semula ia menjadi RM200 setahun yang sepatutnya dikutip PBT.

“(Namun), kawalan kenaikan sehingga 25 peratus yang ditetapkan menjadikan jumlah cukai baharu yang dibayar pada 2025 adalah RM125 setahun berbanding RM200 yang sepatutnya dikutip,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini, jelasnya, pemberian diskaun itu dikuat kuasa selama lima tahun, dengan penambahan kewangan berjumlah RM355 juta bagi semua PBT.

Menurut Suee Lim, kadar baharu cukai taksiran dibuat selepas negeri mengambil kira keluhan rakyat dan pemegang taruh yang terbeban jika berlaku kenaikan sehingga 100 peratus.

“Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan keupayaan PBT dengan menyedia pelbagai kemudahan infrastruktur awam yang sentiasa selesa, bersih dan selamat untuk digunakan,” katanya.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran dalam tempoh antara 20 hingga 40 tahun lalu di kawasan pentadbirannya.

Majlis Perbandaran Kajang paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, Majlis Perbandaran Kuala Langat 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya pula tidak menaikkan cukai selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway, manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu