Belanjawan Selangor 2025 peruntuk RM3 bilion, tumpu lima teras

Tarikh: 18/11/2024
img

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Selangor memperuntuk RM3 bilion dalam belanjawan tahun hadapan bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.7 bilion atau 56.7 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.3 bilion bagi pembangunan.

Bagi peruntukan mengurus, beliau menjelaskan perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (objek am 2000) merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah ini termasuk pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan melibatkan 26 jabatan dan elaun majlis pengurusan komuniti kampung.

“(Ini termasuk) peruntukan elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan mahkamah rendah syariah,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2025 hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata belanja pembangunan pada 2025 meningkat RM100 juta berbanding tahun ini, yang akan menumpukan sektor infrastruktur berbanding sosial.

Jelasnya, kenaikan itu bagi menyokong keterjaminan bekalan air, pengurusan sisa pepejal efisien, menaik taraf jalan raya dan saliran bagi Tahun Melawat Selangor 2025 dan Sukan Malaysia 2026.

“Walaupun sektor sosial bukan lagi tumpuan utama, penekanan program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan selaras hasrat negeri menambah baik sistem perlindungan sosial,” katanya.

Bertemakan Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, belanjawan 2025 digerakkan melalui lima teras utama iaitu:

• kecerdasan buatan dan pemangkin kemajuan ekonomi negeri

• mendukung hasrat alam sekitar mampan dan infrastruktur berkualiti

• memupuk negeri penyayang

• menjuarai tadbir urus cekap dan wibawa

• membugar ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda

Sumber: SelangorKini


Radio MPSepang
Semarak Harimu