Ani wanita pertama dilantik terajui Majlis Perbandaran Sepang

Tarikh: 08/07/2025
img

CYBERJAYA: Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dr Ani Ahmad, 53, hari ini mengangkat sumpah sebagai YDP Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Beliau menggantikan Datuk Abd Hamid Hussain yang memegang jawatan Datuk Bandar Klang sejak Disember lalu.

Ani yang juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Hulu Langat sebelum ini, mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai YDP MPSepang.

Pada sidang media kemudian, beliau menyatakan hasrat meneruskan dasar dan misi sedia ada MPSepang serta memerlukan tempoh tiga bulan bagi meneliti dan menangani isu setempat.

Menurutnya, daerah Sepang berbeza dengan Ampang Jaya kerana lebih 50 peratus kawasannya masih belum dibangunkan dan perancangannya juga lebih teratur serta terancang.

Beliau juga menegaskan komitmennya untuk menjadikan Sepang sebagai kawasan hijau, bersih, mampan, berteknologi dan lestari.

"Selain fokus pembangunan, kita akan perhebatkan aspek pelancongan dan penglibatan komuniti bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan yang lebih kondusif untuk masa depan," katanya.

Majlis angkat sumpah turut dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Daerah Sepang, Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Timbalan YDP MPSepang, Muhamad Shah Osmin.

Ani berkata, banyak isu seperti masalah lalat dan pelupusan sampah secara haram perlu diteliti secara serius kerana ia berpunca dari luar daerah ini.

"Saya mohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang bagi membolehkan saya menyelaras keutamaan bersama pasukan pentadbiran MPSepang," katanya.

Sumber: Berita Harian Online 

Radio MPSepang
Semarak Harimu