SHAH ALAM, 20 JAN: Muzium Sultan Alam Shah di Seksyen 14 di sini dibuka semula secara rasmi kepada pengunjung 8 Februari ini.
EXCO kebudayaan berkata Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM5 juta bagi kerja naik taraf sejak 2019 dan muzim itu akan dirasmi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurut Dato’ Borhan Aman Shah, pelbagai tarikan baharu disediakan antaranya 1,000 pameran artifak, pameran alam kubur 3D, sejarah warisan warung makanan dan perkahwinan kaum di Selangor.
“Projek naik taraf bermula 2019 namun tertangguh akibat perkara di luar kawalan pentadbiran seperti pandemik Covid-19.
“Muzium memberi nafas baharu menyediakan kemudahan mesra pengunjung dengan mengaplikasi penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), interaktif seni dan sistem respon pantas (QR) pada pameran,” katanya.
Ditemui pada sidang media di muzium berkenaan, Borhan memaklumkan orang ramai boleh hadir secara percuma selama tiga bulan selepas dibuka 8 Februari.
“Harga tiket akan dicadangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) namun berpatutan.
“Bayaran tiket masuk akan dikenakan bagi memastikan kualiti pameran dan penyelenggaraan muzium dapat dilaksanakan dengan efisyen,” ujarnya.
Sumber: SelangorKini