SHAH ALAM, 20 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) sentiasa bersiap siaga memastikan perkhidmatan kutipan sampah di Selangor berjalan lancar sepanjang Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporatnya Ahmad Rizal Mohd Daud berkata, kira-kira 10,000 tenaga kerja dan lebih 1,000 aset digerakkan seperti biasa bagi memastikan kelancaran pengurusan sisa pepejal dan kebersihan kawasan setempat.
“Kutipan Aidilfitri seperti biasa, beroperasi 24 jam tujuh hari untuk pastikan operasi tidak terganggu walaupun sibuk dengan perayaan. Kita jangka sampah yang (banyak) dijana daripada rumah terbuka dan sebagainya.
“Jadi tapak pelupusan sampah dipastikan sedia menerima sampah yang banyak kerana kita jangka sampah meningkat tahun ke tahun terutama ketika musim perayaan.
“Kita ada pekerja dan aset mencukupi untuk tangani lambakan sampah terutama ketika perayaan,” katanya ditemui selepas program Bubur Lambuk Cinta Ramadan, di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Rizal lagi, bagi membantu orang ramai yang ingin menukar perabot dan barangan rumah lama sempena musim perayaan, kutipan sampah pukal turut disediakan di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) tertentu.
Selain itu, beliau turut menasihatkan rakyat Selangor untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam pengurusan sisa domestik selain menekankan kepentingan mematuhi jadual kutipan sampah yang telah ditetapkan bagi mengelak lambakan sisa serta gangguan haiwan liar.
“Semasa perayaan ini, kita berjaga-jaga, makan bersederhana walaupun meraikan dan menjamu tetamu pastikan sampah dibuang di tempat sepatutnya dan kalau boleh dibuat pengasingan lebih baik.
“Ikut jadual kutipan sampah jadi tiada lambakan sampah yang boleh diganggu binatang liar dan sebagainya. Diharap kita dapat beraya dan kekalkan kebersihan setempat,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata sebanyak 524 tong ‘roll on roll off’ (roro) disediakan pihaknya bagi kutipan sampah pukal sempena Aidilfitri tahun ini. Jumlah tersebut mungkin bertambah bergantung kepada permintaan.
Terdahulu, kira-kira 80 kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Selangor (lokaliti Shah Alam), KDEBWM dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sejak jam 9 pagi sempena program itu.
Sebanyak 2,500 pek bubur lambuk diagih kepada masyarakat sekitar Seksyen 14 di sini menerusi program berkenaan dengan KDEBWM memperuntuk RM4,000 bagi membantu menjayakannya.
Sumber: SelangorKini